Bumbung KLIA 1 bocor kerana kontraktor tak sempat tutup titik saliran

Kebocoran bumbung di Terminal 1 KLIA yang tular malam semalam berpunca daripada kecuaian kontraktor ketika kerja pembaikan sedang dijalankan, menurut siasatan dalaman Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).
Kejadian berlaku ketika kerja pemulihan bumbung dan sistem kalis air sedang dilaksanakan sebagai sebahagian daripada projek naik taraf setahun yang bermula April 2025 bagi menggantikan infrastruktur lama terminal berkenaan.
Insiden tercetus apabila kerja penutupan bahagian saliran terpaksa dihentikan secara mengejut susulan amaran kilat.
Pekerja kontraktor meninggalkan kawasan bumbung dalam keadaan tergesa-gesa kerana cuaca buruk, namun gagal menanggalkan papan lapis yang digunakan bagi menutup titik saliran.
Kecuaian itu menyebabkan laluan air tersumbat, sebelum hujan lebat mengakibatkan air bertakung di atas bumbung dan akhirnya menembusi siling terminal.
MAHB memaklumkan tindakan tegas akan diambil terhadap kontraktor terlibat dan langkah penambahbaikan segera sedang dilaksanakan.




