Gelandangan baring depan bank pulang semula ke India selepas dianiaya majikan, hidup tanpa gaji

Seorang gelandangan warga India, Safiudeen Pakkeer Mohamed, yang sebelum ini tular selepas dihalau dan disimbah air ketika tidur di hadapan sebuah bank bakal dihantar pulang ke kampung halamannya malam ini.
Safiudeen, 39, yang berasal dari Tamil Nadu, India datang mencari rezeki sebagai tukang masak di sebuah restoran di Sri Gombak, namun berdepan pelbagai kesukaran termasuk gaji yang sering tertunggak dan dakwaan pasport ditahan majikan sehingga menyukarkannya mencari kerja lain.
Tekanan kewangan menyebabkan dia tidak mampu menghantar wang kepada keluarganya dan akhirnya terpaksa tidur merata-rata apabila tidak lagi dibenarkan berhenti kerja.
Selepas insiden tular itu, dia diselamatkan pengasas pusat perlindungan gelandangan, Tony Lian, sebelum dibawa ke pusat yang diuruskan Suruhanjaya Tinggi India.
Majikannya juga bersetuju menyelesaikan tunggakan gaji serta menyediakan tiket penerbangan pulang.
Safiudeen kini bersiap untuk kembali ke India dengan sedikit bantuan dana yang dikumpul sukarelawan, memberi peluang kepadanya memulakan hidup baharu selepas melalui pengalaman getir sebagai pekerja asing di Malaysia.




