13 menara komunikasi terjejas akibat vandalisme di Kuala Pilah, 1,668 pengguna terkesan – MCMC

Sebanyak 13 menara komunikasi di Kuala Pilah terjejas akibat aktiviti vandalisme dan kecurian, menyebabkan gangguan perkhidmatan 2G dan 4G kepada kira-kira 1,668 pengguna.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan menerima laporan daripada CelcomDigi pada 11 April, dengan siasatan mendapati kejadian berpunca daripada kecurian peralatan di menara Bukit Pilah.
Antara peralatan yang dicuri termasuk Radio Transport System (RTS) dan Baseband Unit (BBU), sekali gus menjejaskan operasi menara lain di sekitar kawasan.
Bagaimanapun, kerja pemulihan telah dilaksanakan dan kesemua menara kini kembali beroperasi secara berperingkat.
MCMC menegaskan vandalisme infrastruktur telekomunikasi merupakan kesalahan serius di bawah Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara hingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali.




