Mayat lelaki jatuh jambatan Pulau Pinang ditemui, tinggalkan isteri hamil dan dua anak

Penantian hampir dua hari seorang isteri berakhir apabila jasad suaminya yang dipercayai terjatuh dari Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang akhirnya ditemui pagi tadi.
Mangsa sebelum ini dikhuatiri lemas selepas meninggalkan motosikal, pakaian dan telefon bimbit di tepi jambatan dan ditemukan terapung berhampiran Pengkalan Weld, George Town.
Operasi mencari yang digerakkan JBPM Pulau Pinang, Polis Marin dan APMM turut memperluas pencarian sehingga radius empat kilometer sebelum jasadnya ditemui dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Di sebalik tragedi itu, isterinya yang hamil lima bulan anak ketiga merayu orang ramai menghentikan komen negatif berkaitan kejadian tersebut.
Selama hampir 40 jam dia menunggu dalam keadaan emosi yang berat, sambil berharap suaminya ditemui dengan cara yang baik.
Wanita itu berkata dia reda dengan ketentuan ini namun memohon agar orang ramai hanya menitipkan doa, bukan andaian yang menyakitkan, demi menjaga hati dan perasaannya yang sedang berduka.




