FIFA siasat Setiausaha Agung FAM, dua ejen isu pemalsuan dokumen

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melancarkan siasatan rasmi terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan pendedahan pemalsuan dokumen kelahiran tujuh pemain warisan.
Siasatan itu memfokuskan penglibatan Setiausaha Agung FAM yang digantung, Noor Azman Rahman, serta dua ejen berlesen FIFA Nicolás Puppo dan Frederico Moraes yang dianggap menimbulkan kebimbangan serius terhadap integriti pentadbiran FAM.
Kes berprofil tinggi itu tercetus selepas FIFA mendenda kira-kira RM1.8 juta dan menjatuhkan hukuman denda serta penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain: Gabriel Palmero, Facundo Garcés, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, João Figueiredo, Jon Irazábal dan Hector Hevel.
FIFA kini meneliti siapa yang bertanggungjawab melakukan pemalsuan, keberkesanan kawalan dalaman FAM, serta sama ada tindakan tambahan perlu diambil.
Badan induk itu turut mengarahkan maklumat diserahkan kepada pihak berkuasa di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia kerana pemalsuan dokumen adalah kesalahan jenayah.
Rayuan FAM atas alasan kesilapan teknikal ditolak sepenuhnya, dan FAM memaklumkan akan membawa kes tersebut ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).




