Lelaki ada masalah pembelajaran, ambil SPM 10 kali kini bergelar guru

Seorang lelaki yang sejak kecil berdepan masalah pembelajaran akhirnya bergelar guru pada usia 37 tahun, selepas melalui perjalanan penuh ketabahan termasuk menduduki Sijil Pendidikan Malaysia (SPM) sebanyak 10 kali dan Sijil tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dua kali.
Kisah inspirasi ini dikongsikan kakaknya, Dr Ainun Nasihah, di platform X yang mendedahkan adiknya mempunyai kesukaran untuk belajar, gagap, mudah hilang fokus dan sering dibuli walaupun bapa mereka mengajar di sekolah sama.
Namun Farid tidak pernah berputus asa dan setiap kali mengulang peperiksaan, beliau belajar sendiri hingga berjaya memperbaiki keputusan dan melayakkan diri ke universiti.
Selepas memperoleh ijazah, beliau menamatkan Diploma Pascasiswazah Pendidikan (DPLI) sebagai langkah terakhir sebelum memenuhi impian menjadi guru.
Dalam perjalanan itu, Farid melakukan pelbagai kerja sambilan seperti menjadi pengawal keselamatan di hospital, sekolah dan rumah warga emas, selain membantu ayah di sawah bagi menampung keperluan.
Hari ini, Farid akhirnya melapor diri sebagai guru subjek Bahasa Melayu di salah sebuah sekolah di Johor.
Kisahnya kini tular dan dihujani ucapan tahniah, dengan ramai menyifatkannya sebagai bukti bahawa kejayaan tetap tercapai selagi seseorang itu memilih untuk terus berjuang, tidak kira berapa kali jatuh.



