Lebih 30,000 tempah Proton Saga MC3 selepas seminggu dilancarkan

Hanya seminggu selepas dilancarkan, Proton Saga MC3 mencatat lebih 30,000 tempahan.
Ini menjadikannya antara model paling laris pernah diperkenalkan Proton dan mengukuhkan kedudukannya sebagai calon peneraju segmen A di pasaran ASEAN tahun depan.
Dalam masa yang sama, Proton turut menerima lebih 10,000 tempahan bagi e.MAS 5, sekali gus mengangkatnya sebagai kenderaan elektrik mampu milik pertama di Malaysia yang mendapat sambutan pantas sejak diumumkan.
Seiring prestasi kukuh kedua-dua model itu, Proton menetapkan sasaran jangka panjang untuk mencapai jualan 330,330 unit menjelang 2030 serta meningkatkan eksport daripada 4 peratus kepada 30 peratus keseluruhan jualan.
Perkembangan itu diketengahkan pada penganjuran Proton Technology Showcase, yang menampilkan barisan model baharu dan demonstrasi teknologi automotif masa kini serta masa depan.




