Lapangan terbang India huru-hara, lebih 500 penerbangan dibatal dalam 4 hari

Lapangan terbang di seluruh India terus lumpuh apabila lebih 500 penerbangan dibatalkan sejak empat hari lalu, meninggalkan ribuan penumpang terkandas dan timbunan bagasi memenuhi terminal utama.
Di Delhi, beribu-ribu beg berselerak di kawasan ketibaan sementara penumpang menunggu lebih 12 jam tanpa diberikan sebarang maklumat, makanan atau air.
Ramai terpaksa tidur di lantai, manakala kaunter syarikat penerbangan tidak beroperasi langsung.
IndiGo syarikat penerbangan terbesar India mencatat lebih 550 pembatalan selepas berdepan kekurangan kru akibat kesilapan perancangan, perubahan peraturan bertugas malam, masalah cuaca dan kesesakan ruang udara.
Lapangan terbang utama seperti Delhi, Mumbai, Bengaluru dan Hyderabad turut terjejas dengan jumlah pembatalan tertinggi.
IndiGo menjangka gangguan ini berterusan dua hingga tiga hari lagi sebelum jadual penerbangan kembali stabil.




