Tragedi Bondi Beach: 16 terkorban, dua lelaki sasar komuniti Yahudi

Angka korban dalam insiden tembakan beramai-ramai di Bondi Beach, Sydney meningkat kepada 16 orang.
Ia termasuk seorang kanak-kanak, selepas dua lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang menghadiri festival Yahudi pada Ahad malam.
Pihak berkuasa Australia mengklasifikasikan kejadian itu sebagai serangan pengganas. Seorang suspek ditembak mati di lokasi kejadian manakala seorang lagi dilaporkan kritikal di hospital.
Seramai 38 orang cedera, termasuk empat kanak-kanak, dengan beberapa mangsa berada dalam rawatan rapi.
Serangan berlaku sempena sambutan awal Hanukkah dan dipercayai menyasarkan komuniti Yahudi tempatan.
Polis turut menemui bahan letupan buatan dalam sebuah kenderaan yang dikaitkan dengan suspek.
Kawasan sekitar Bondi Beach ditutup sementara bagi tujuan keselamatan dan siasatan forensik, manakala siasatan lanjut masih dijalankan.




