Gen Z semakin aktif bercuti, Airbnb di Genting Highlands, Melaka antara jadi pilihan – Kajian

Generasi Z di Malaysia kini semakin dominan dalam merancang percutian, termasuk membuat tempahan penginapan melalui Airbnb, dengan carian meningkat 25 peratus berbanding tahun lalu.
Menurut data Hilton Trends 2025, trend ini menunjukkan golongan muda bukan sekadar mengikut, malah mengambil peranan utama menentukan lokasi dan tempat penginapan keluarga.
Faktor kemudahan dan kos berpatutan menjadi keutamaan, mendorong ramai memilih destinasi tempatan yang mudah diakses seperti Genting Highlands, Port Dickson dan Melaka, selain Kota Kinabalu yang semakin popular.
Bagi Gen Z, percutian bukan sekadar rehat, sebaliknya ruang untuk belajar dan mengenal diri. Di rantau Asia Pasifik, lebih separuh melihat perjalanan sebagai peluang pembangunan pendidikan dan peribadi.
Secara keseluruhan, 92 peratus pelancong muda di rantau ini telah melakukan sekurang-kurangnya satu perjalanan dalam tempoh setahun, mencerminkan gaya hidup Gen Z yang aktif melancong dan semakin memacu hala tuju industri pelancongan.




