Papa Zola The Movie raih kutipan RM43 juta

Filem animasi tempatan Papa Zola The Movie terus mencipta fenomena apabila mencatat kutipan box office sebanyak RM43 juta sejak ia mula ditayangkan pada 11 Disember lalu.
Ia sekali gus muncul antara filem animasi tempatan paling berjaya dalam sejarah perfileman Malaysia.
Kejayaan ini didorong sambutan penonton pelbagai peringkat usia, khususnya sepanjang cuti persekolahan, yang menyaksikan filem ini menjadi pilihan tontonan keluarga merentas generasi.
Diterbitkan oleh MONSTA dengan kerjasama Astro Shaw, filem ini membuktikan karya animasi tempatan mampu bersaing dengan filem antarabangsa di pawagam.
Papa Zola The Movie kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei, sebelum diperluaskan ke pasaran antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia dan India, diikuti Vietnam serta beberapa negara Timur Tengah termasuk Arab Saudi, UAE dan Turki pada April 2026.




