LHDN siap kredit bayaran balik lebihan cukai RM4 bilion

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selesai mengkreditkan bayaran balik lebihan cukai berjumlah RM4 bilion kepada 110,074 pembayar cukai dalam tempoh 9 hingga 24 Disember 2025.
Pembayaran itu susulan keputusan kerajaan menaikkan peruntukan bayaran balik cukai daripada RM2 bilion kepada RM4 bilion bagi mempercepatkan penyelesaian tunggakan lama.
Secara keseluruhan, LHDN telah memproses bayaran balik cukai berjumlah RM19 bilion melibatkan lebih 3.6 juta kes sepanjang 1 Januari hingga 24 Disember 2025.
Daripada jumlah RM4 bilion tambahan, RM1 bilion pertama digunakan untuk menyelesaikan tunggakan bayaran balik melebihi tiga tahun.
Manakala baki RM3 bilion disalurkan kepada pembayar cukai dengan tunggakan dua hingga tiga tahun, khususnya melibatkan syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
LHDN menasihatkan pembayar cukai memastikan maklumat akaun bank dikemas kini bagi mengelakkan kegagalan proses bayaran balik.




