Tindakan diambil jika buat kotor! DBKL sedia 25 tong sampah sempena ambang tahun 2026

Sebanyak 25 tong sampah disediakan di lokasi tumpuan sekitar Bukit Bintang sempena sambutan Ambang Tahun Baharu esok malam bagi memastikan kebersihan kawasan awam terjaga.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan tong sampah yang disediakan dengan kerjasama Alam Flora itu ditempatkan pada jarak kira-kira 50 meter di laluan utama.
Ia termasuk dari Pavilion ke Changkat Bukit Bintang, Starhill ke Stesen MRT Bukit Bintang serta beberapa bahagian Jalan Sultan Ismail.
Langkah itu susulan insiden tular kawasan Bukit Bintang dipenuhi sampah selepas sambutan Hari Natal baru-baru ini, yang mencetuskan kecaman orang ramai.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengingatkan orang awam agar mematuhi peraturan kebersihan.
Ini kerana tindakan khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah di tempat awam akan berkuat kuasa mulai 1 Januari, dengan penguatkuasaan sudah diarahkan dilaksanakan sepenuhnya.




