‘Glamping With Pride’ dibatal bukan sebab undang-undang tapi diugut bunuh – Penganjur

NGO pro-LGBTQ, Jejaka membatalkan penganjuran program “Glamping With Pride” yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini selepas berdepan ancaman keselamatan serius, termasuk ugutan bunuh dan keganasan melalui media sosial.
Penganjur menjelaskan pembatalan itu dibuat atas faktor keselamatan, bukan kerana program berkenaan menyalahi undang-undang, susulan situasi semasa yang semakin meruncing sehingga membahayakan nyawa.
Ancaman yang diterima turut menyebabkan pemilik lokasi menarik balik tempahan atas alasan keselamatan, sekali gus memaksa penganjur menghentikan keseluruhan perancangan program.
Jejaka memaklumkan semua ugutan telah didokumenkan dan akan dirujuk kepada pihak berkuasa melalui laporan polis.
Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan supaya tindakan tegas diambil terhadap sebarang penganjuran program “Glamping With Pride” yang didakwa dikaitkan dengan aktiviti tidak bermoral, yang dirancang berlangsung pada 17 dan 18 Januari 2026 di Hulu Langat, Selangor.




