Pesawat hilang di Sulawesi disyaki terhempas ketika terbang rendah, hanya satu mayat ditemui

Sebuah pesawat turboprop ATR 42-500 yang dilaporkan hilang di ruang udara Sulawesi pada Sabtu dipercayai terhempas ketika terbang rendah semasa fasa pendaratan di Makassar.
Pesawat kendalian Indonesia Air Transport itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Adi Sucipto, Yogyakarta ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, membawa 10 individu terdiri daripada tujuh kru dan tiga penumpang.
Kementerian Pengangkutan memaklumkan pesawat dikesan terbang pada altitud rendah dan dipercayai tersasar daripada laluan pendaratan yang ditetapkan di kawasan dikelilingi muka bumi batu kapur yang curam, sekali gus meningkatkan risiko pelanggaran.
Pegawai kawalan trafik udara sempat memberi arahan pembetulan, namun komunikasi dengan pesawat terputus selepas itu.
Operasi pencarian kini tertumpu di kawasan pergunungan Bantimurung, lokasi terakhir pesawat dikesan sebelum hilang.




