Anwar umum prasekolah bermula usia 5 tahun secara sukarela, BM dan Sejarah wajib termasuk UEC

Kerajaan menggalakkan kanak-kanak berusia lima tahun mengikuti pendidikan prasekolah, manakala kemasukan ke Darjah 1 pada usia enam tahun bermula 2027.
Namun pelaksanaannya tidak diwajibkan dan bergantung kepada kesiapsiagaan anak serta keputusan ibu bapa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kanak-kanak berusia tujuh tahun masih dibenarkan memasuki Darjah 1, tetapi ibu bapa yang bersedia digalakkan menghantar anak ke prasekolah lebih awal bagi memastikan asas pembelajaran lebih kukuh.
Dalam masa sama, Anwar mengumumkan pelaksanaan semula penilaian murid di Darjah 4 melibatkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, manakala penilaian Tingkatan 3 turut merangkumi Sejarah.
Beliau juga menegaskan Bahasa Melayu dan Sejarah diwajibkan kepada semua aliran pendidikan, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama dan aliran UEC sebagai syarat SPM, sekali gus memperkemas laluan pelajar ke universiti awam dan menamatkan polemik berpanjangan berkaitan bahasa.




