Bawa diri ke KL dengan RM20, SP Maniam si anak buruh ladang kini pemilik syarikat logistik
Berbekalkan hanya RM20 yang dipinjam, anak buruh ladang dari Ladang Bagan Pasir, Parit Buntar, Perak ini kini mengemudi empayar logistik sendiri. SP Maniam membuktikan kemiskinan dan pendidikan setakat SPM bukan penghalang untuk mencipta kejayaan besar.
Hampir 30 tahun lalu, beliau memulakan langkah dari bawah sebagai kelindan lori, buruh binaan dan pekerja pasar raya sebelum mendapat peluang dalam industri logistik di Lapangan Terbang Subang.
Pengalaman itu menjadi titik tolak untuk menubuhkan APP Global Logistics Consortium Sdn Bhd dan hari ini beliau berdiri megah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengurus Projek bagi APP Global Logistics Consortium Sdn. Bhd.
Bermula dengan hanya dua pekerja, syarikatnya kini berkembang dengan 15 kakitangan dan menyediakan perkhidmatan rantaian bekalan merangkumi kargo udara dan laut antarabangsa, pelepasan kastam, pergudangan serta pengangkutan domestik.
APP Global Logistics turut mengendalikan pelanggan korporat besar dengan menekankan ketepatan dan kualiti perkhidmatan sebagai teras utama.
Isterinya, Rajathi, bukan sahaja tulang belakang keluarga malah turut menguruskan perniagaan sendiri, manakala anak sulungnya kini menyertai syarikat sebagai Pengurus Projek.
Kisah SP Maniam menjadi bukti bahawa kejayaan tidak memerlukan jalan pintas, sebaliknya dibina melalui keberanian berhijrah, kesungguhan bekerja keras dan keyakinan untuk mengubah nasib.




