PM sekali lagi tegas patuh peraturan bina rumah ibadat

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan rakyat bebas membina rumah ibadat dan menjalankan aktiviti keagamaan, termasuk dakwah, selagi mematuhi peraturan serta undang-undang sedia ada.
Berucap pada majlis bersama Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, beliau berkata isu rumah ibadat tidak wajar dipolitikkan kerana boleh menjejaskan keharmonian kaum dan mengalih tumpuan daripada agenda pembangunan negara.
Tegasnya, prinsip pematuhan undang-undang terpakai kepada semua agama, termasuk dalam isu pembinaan kuil, surau atau penganjuran aktiviti dakwah di tempat awam.
Kenyataan itu susulan beberapa insiden melibatkan tindakan pihak berkuasa terhadap perhimpunan membantah rumah ibadat serta penurunan khemah dakwah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana melanggar peraturan.


