Krisis minyak: Kerajaan digesa pertimbang subsidi diesel 6,000 bas operator pelancongan

Kerajaan perlu mempertimbangkan subsidi bersasar untuk pengusaha bas pelancongan Malaysia yang terkesan dengan kenaikan harga diesel.
Menurut Pengasas Your Inbound Matters, Uzaidi Udanis, kebanyakan daripada lebih 6,000 bas operator ini telah membuat pemasaran awal berdasarkan kos kontrak tertentu sekali gus meletakkan mereka dalam dilema sama ada menyerap kos dan rugi, atau menaikkan harga sehingga berisiko pelanggan membatalkan tempahan.
“Apabila harga naik, ia agak terkesan. Sebab adakah dia jadi delima, sama ada kita nak serap cost, kita akan rugi, ataupun kita nak tambah lagi cost yang tinggi, jadi kemungkinan pelanggan akan cancel.
“Jadi dia kena ada pilihan. Ini saya memang saya harap-harap lah kerajaan yang prihatin, kerajaan Madani, tengoklah sama ada boleh membantu bas operator ni yang bergantung sangat pada diesel.
“Dan mereka ni sebenarnya membawa pelancong-pelancong luar negara, dan apabila pelancong luar negara datang sini, dia belanja. Jadi pulangan itu adalah,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pelancong luar negara yang dibawa bas ini memberi impak ekonomi melalui perbelanjaan harian, pembelian hartanah, dan perkhidmatan seperti sekolah dan hospital swasta, menjadikan subsidi satu pelaburan jangka panjang untuk negara.




