Dron misteri disyaki milik China ceroboh Laut Indonesia

Sebuah dron bawah air dipercayai milik China ditemui nelayan di perairan strategik berhampiran Selat Lombok, Indonesia, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan maritim negara itu.
Peranti berbentuk torpedo itu ditemukan di laluan penting yang menghubungkan Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, yang turut digunakan kapal selam serta aset ketenteraan antarabangsa, termasuk laluan dipantau rapat oleh Amerika Syarikat dan Australia.
Tentera Laut Indonesia kini menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti asal usul, fungsi serta data dalam peranti tersebut selepas ia dipindahkan ke pangkalan tentera laut di Mataram.
Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan ia merupakan dron pengawasan bawah air, namun pengesahan masih menunggu analisis teknikal penuh.
Walaupun tiada bahan letupan atau radioaktif dikesan, penemuan itu menimbulkan kebimbangan terhadap aktiviti asing tidak dibenarkan di laluan laut strategik Indonesia yang boleh mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.




