Pagar sekolah dikunci 7.30 pagi, pengetua SMK jadi perhatian

Tindakan pengetua di SMK Sungai Rambai, Melaka yang menutup pagar sekolah tepat pukul 7.30 pagi mencetuskan kontroversi selepas beberapa kain rentang mengkritik tindakan itu tular sejak Sabtu lalu.
Kain rentang tersebut mendakwa pelajar dihalau dan dinafikan hak untuk mendapatkan pendidikan hanya kerana datang lewat ke sekolah.
Bagaimanapun, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman tampil menjelaskan bahawa langkah itu dibuat bagi menangani masalah disiplin dan ponteng sekolah yang semakin serius di sekolah berkenaan.
Rahmad berkata, tindakan menutup pagar sekolah bukan keputusan individu pengetua semata-mata, sebaliknya telah dipersetujui dalam mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Katanya lagi, pelajar yang datang lewat tidak dihalang terus daripada belajar, sebaliknya akan dipanggil untuk sesi kaunseling dan tindakan disiplin sebelum dibenarkan masuk ke kawasan sekolah.




