Zambry sanggah dakwaan 60,000 pelajar masuk UA secara ‘pintu belakang’, sifatkan tuduhan tidak berasas

Dakwaan bahawa antara 30,000 hingga 60,000 pelajar memasuki universiti awam (UA) melalui “pintu belakang” disifatkan sebagai tuduhan berat oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau memberi amaran ia boleh mencemarkan integriti sistem pendidikan negara.
Menurut laporan, Zambry berkata kenyataan tersebut bukan sahaja menjejaskan keyakinan rakyat terhadap universiti awam, malah memberi persepsi seolah-olah peluang pelajar yang layak telah dirampas melalui saluran tidak sah atau kepentingan tertentu.
Beliau menegaskan sistem kemasukan ke UA di Malaysia dilaksanakan secara telus, berasaskan merit dan syarat kelayakan yang jelas melalui mekanisme rasmi seperti UPU.
Katanya, jika benar terdapat puluhan ribu kemasukan tidak sah, pihak yang membuat dakwaan perlu mengemukakan bukti kukuh, bukan sekadar angka tanpa asas.
Zambry turut memaklumkan bahawa beberapa universiti awam telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan terhadap kenyataan tersebut.




