Malaysia
Warga emas parah dirempuh penunggang mabuk di Kuala Pilah

Seorang warga emas berusia 74 tahun parah selepas motosikalnya dirempuh seorang lelaki yang dipercayai menunggang di bawah pengaruh alkohol di Jalan Kuala Pilah-Tampin, berhampiran simpang Matrikulasi, Kuala Pilah, kira-kira jam 8.20 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, kemalangan berlaku apabila penunggang Modenas Kriss berusia 53 tahun dipercayai membelok secara mengejut ke simpang kanan sebelum merempuh motosikal Yamaha Lagenda yang ditunggang mangsa.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.
Penunggang Modenas Kriss pula dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Pilah dan didapati berada di bawah pengaruh alkohol.




