Selat minyak dunia dipertaruh, Iran-AS cuba tamatkan konflik

Iran dilaporkan bakal mendapat kuasa mengawal kapal yang memasuki Teluk melalui Selat Hormuz menerusi cadangan perjanjian bersama Oman bagi menamatkan konflik dengan Amerika Syarikat (AS).
Menurut laporan, cadangan itu antara konsesi terbesar diberikan kepada Tehran.
Perjanjian itu melibatkan rundingan mengenai laluan strategik yang menjadi laluan utama perdagangan minyak dunia. Iran mendakwa kapal masuk dan keluar akan melalui perairannya, namun AS sebelum ini menolak sebarang kawalan Iran ke atas selat tersebut.
Presiden AS, Donald Trump berkata beliau memilih penyelesaian melalui rundingan kerana tidak mahu lebih ramai mangsa terkorban.
Dalam masa sama, Iran memberi amaran akan menyerang kemudahan tenaga di rantau Teluk jika berlaku serangan baharu terhadap wilayahnya.
Bagaimanapun, beberapa isu masih belum selesai termasuk bentuk kawalan Iran dan kemungkinan bayaran penggunaan selat itu.




