Mayat wanita mereput dalam tandas, tangan diikat dan kepala ditutup kain

Seorang wanita warga emas berusia 62 tahun dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan dalam keadaan mereput di dalam tandas sebuah rumah kayu dua tingkat di Tanah Merah, Jalan Leila, Sandakan, pada Selasa lalu.
Kejadian itu terbongkar selepas polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 8.10 malam mengenai bau busuk dari rumah berkenaan.
Ketika ditemukan, kedua-dua tangan mangsa diikat ke belakang dan kepalanya ditutup menggunakan kain. Mangsa dipercayai sudah meninggal dunia beberapa hari sebelum penemuan itu.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, mangsa tinggal bersendirian di rumah tersebut.
Menurut George, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan berhubung bayaran kerja pengubahsuaian rumah dan kenaikan kadar sewa rumah yang didiami suspek.
Polis turut merampas sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam kejadian serta beberapa barangan peribadi mangsa yang dipercayai dilarikan.




