
Filem pengembaraan dan thriller psikologi arahan Karthik Shaamalan, Poovellaam Kettuppaar (PKP), bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia mulai 27 Ogos ini.
Menjelang tayangan, satu sesi pratonton khas filem berkenaan diadakan di GSC MyTOWN, Cheras.
PKP mencipta sejarah sebagai filem Tamil pertama di Malaysia yang dirakam sepenuhnya menggunakan format anamorfik.
Karthik berkata, PKP merupakan karya yang dekat dengan hatinya dan dihasilkan dengan penuh kasih sayang, usaha keras serta sarat dengan pelbagai emosi.
Barisan pelakon termasuk Vikadakavi, Yuvaraj Krishnasamy, Datin Shaila V, K.S. Maniam dan Thashrra Aghonderan turut berkongsi bahawa filem itu memberikan pengalaman penggambaran yang berbeza kepada mereka.
Turut hadir sebagai tetamu khas, Yuneswaran Ramaraj yang mengucapkan tahniah kepada seluruh pasukan produksi selain menyeru orang ramai supaya terus menyokong karya filem tempatan. Pasukan produksi Irumbu Thottam dan anggota C4 Cinta turut hadir bagi memberikan sokongan kepada filem berkenaan.




