Khairul Sarbany lakar sejarah, juara sulung Terbuka Kinrara Merdeka

Kejohanan Terbuka Kinrara Merdeka mencipta sejarah tersendiri apabila Khairul Sarbany dinobatkan sebagai juara sulung kejohanan berkenaan yang berlangsung di Kelab Golf Kinrara, Puchong pada 5 September lalu.
Kejohanan yang menghimpunkan peminat dan pemain golf itu menyaksikan persaingan sengit dalam beberapa kategori, dengan Khairul mencuri tumpuan selepas menampilkan aksi konsisten sepanjang dua pusingan.
Beliau membuka saingan dengan catatan 74 pukulan pada pusingan pertama sebelum menamatkan pusingan akhir dengan 78 pukulan untuk mengumpul keseluruhan 152 pukulan sekali gus muncul juara edisi sulung.
Saingan kategori Gross turut berlangsung sengit apabila M Dzun Nun dan Aidil Asdi masing-masing mencatat 155 pukulan untuk berkongsi kedudukan kedua.
Dalam kategori Stableford A Medal pula, Ahmad Razid Sukiran muncul juara selepas mengumpul 80 mata menerusi kiraan countback, menewaskan Wong Teck Kim yang turut mencatat 80 mata.
Gabriel Gomez berada di kedudukan seterusnya dengan 79 mata, manakala Mohd Fadhil Khairy dan Christopher Ponniah masing-masing meraih 78 mata.
Sementara itu, Hafizzi Ramat tampil cemerlang untuk menjuarai kategori B Medal dengan 89 mata.
Alfred menduduki tempat kedua dengan 86 mata, diikuti Razali dengan 84 mata, Mohd Rashdan 82 mata dan Saiful dengan 79 mata.
Selain menjadi medan persaingan dalam kalangan pemain, penganjuran edisi sulung Terbuka Kinrara Merdeka itu turut menyerlahkan semangat kesukanan serta kemeriahan sambutan Merdeka menerusi sukan golf.
Kejohanan berkenaan turut mendapat sokongan pelbagai penaja termasuk Vision Victory Empire powered by Kenanga dan Zurich, RB Chem, Crest Link, BeGolfPro, 100Plus, Under Armour, VinGolf, AGN, Golftreks, TaiGolf, Vanakkam Malaysia, IROAS, Spinalive, Trackman dan AGSSG.



