Malaysia
Ditanam berhampiran rumah sewa, bayi ditemui hidup

Polis menyelamatkan seorang bayi lelaki yang ditemukan masih hidup selepas dipercayai ditanam berhampiran sebuah rumah sewa di Jalan Airport, semalam.
Ketua Polis Daerah Kapit, Rohana Nanu berkata, bayi itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang selepas anggota polis terdengar tangisannya ketika melakukan pemeriksaan di lokasi.
Bayi berkenaan yang berada dalam keadaan kritikal kemudian dihantar ke Hospital Sibu untuk menerima rawatan.
Menurut Rohana, polis sudah mengenal pasti seorang suspek wanita, namun keterangannya belum dapat direkodkan kerana masih menerima rawatan di hospital.




