Deepavali: Permintaan tiket ETS dan EMUPlus melebihi kapasiti

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan jualan sebanyak 100,304 tiket bagi perkhidmatan Electric Train Service (ETS) dan EMUPlus sempena Deepavali dari 5 hingga 10 November ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata, jumlah itu bersamaan 108 peratus daripada 96,752 tempat duduk yang ditawarkan, dengan permintaan meningkat 70 peratus berbanding tahun lalu.
Bagi memenuhi permintaan, KTMB menyediakan tambahan 14,384 tempat duduk menerusi perkhidmatan ETS dan EMUPlus.
Kapasiti tempat duduk turut ditingkatkan kira-kira 70 peratus berbanding musim perayaan sama tahun lalu.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program pengagihan 600 pek cenderahati Deepavali kepada penumpang di KL Sentral, Kuala Lumpur, pada 2 November.
Orang ramai dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal dan membeli tiket menerusi saluran rasmi KTMB.




