
Kerajaan Malaysia memutuskan untuk tidak mengekstradisi pendakwah terkenal, Dr Zakir Naik, ke India dan tidak memberi sebarang komitmen untuk menyerahkan beliau kepada negara itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan Artikel 6 Triti Ekstradisi Malaysia-India yang ditandatangani pada 2010 serta Akta Ekstradisi 1992.
Katanya, permohonan rasmi India sebelum ini diterima pada 19 Januari 2018, manakala nota diplomatik meminta pertimbangan semula diterima pada 29 Mei 2020. Setakat ini, tiada permohonan ekstradisi baharu diterima.
Beliau menjelaskan perkara itu menerusi jawapan bertulis di laman web Parlimen bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary, berhubung status permohonan ekstradisi berkenaan.
Isu itu kembali mendapat perhatian pada September lalu selepas Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, menggesa kerajaan menjelaskan perbincangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengenai perkara berkenaan.




