Malaysia perkukuh kesiapsiagaan hadapi ancaman keselamatan global

Kerajaan akan memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan global, termasuk memastikan bekalan makanan, air dan tenaga negara mencukupi serta tidak terganggu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ancaman keselamatan kini bukan sahaja melibatkan peperangan, malah turut merangkumi serangan siber, penyebaran maklumat palsu, sabotaj infrastruktur kritikal dan gangguan rantaian bekalan.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Sebelum itu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diadakan pada 2 November bagi menilai tahap kesiapsiagaan negara serta memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi keselamatan.
Antara langkah yang akan diberi tumpuan ialah meningkatkan latihan dan simulasi menghadapi krisis, melindungi sektor strategik seperti tenaga, telekomunikasi, pengangkutan dan kewangan, serta memperkukuh keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar juga akan mempengerusikan mesyuarat bersama ketua setiausaha dan ketua pengarah pada 4 November bagi memastikan langkah kesiapsiagaan dilaksanakan, termasuk menjamin bekalan makanan, air dan tenaga negara.




