Panik diserbu SPRM, pengurus projek bakar hampir RM1 juta wang tunai dalam tandas

Seorang pengurus projek syarikat pembinaan terkemuka bertindak membakar hampir RM1 juta wang tunai ketika diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kediamannya di Petaling Jaya, dipercayai kerana panik dengan kehadiran pegawai penguat kuasa.
Pasukan SPRM menemui wang kertas RM100 yang sudah terbakar dalam bilik mandi yang dipenuhi asap.
Turut ditemui di rumah berkenaan ialah wang tunai kira-kira RM7.5 juta, beberapa utas jam tangan mewah seperti Rolex, Omega dan Cartier serta barang kemas dan syiling emas. Semua barangan tersebut telah disita.
Suspek ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah berkaitan perolehan tender projek pembinaan pusat data.
SPRM mengesahkan insiden pembakaran wang itu dan memaklumkan bahawa cubaan melupuskan bukti adalah satu kesalahan serius di bawah Kanun Keseksaan, selain siasatan utama dijalankan mengikut Akta SPRM 2009.




