Ibu kecewa polis tutup kes anak didera di pusat jagaan

Seorang ibu meluahkan rasa kecewa selepas siasatan terhadap kes dera melibatkan bayinya di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Iskandar Puteri, Johor, ditutup tanpa tindakan lanjut oleh pihak berkuasa.
Insiden itu dipercayai berlaku pada Januari lalu apabila ibu bapa mangsa mendapati kesan lebam dan kemerahan pada belakang badan anak mereka selepas diambil dari pusat jagaan terbabit.
Pemeriksaan di Hospital Sultanah Aminah mengesahkan kesan tersebut konsisten dengan kecederaan akibat dipukul atau terkena objek.
Laporan polis dan aduan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dibuat, namun tiada perkembangan dimaklumkan sehingga Ogos lalu.
Ia selepas apabila ibu mangsa dimaklumkan bahawa kes ditutup atas alasan tiada saksi, tiada bukti mencukupi dan ketiadaan rakaman CCTV yang didakwa tidak dapat dikemukakan pusat jagaan kerana kerosakan akibat ribut.
Pihak polis mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, namun tiada tindakan lanjut diambil selepas siasatan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.



