MITI hubungi AS susulan tarif 100% ke atas cip semikonduktor

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah menghubungi Jabatan Perdagangan dan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung pengumuman tarif sehingga 100% ke atas cip semikonduktor.
Menterinya, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, langkah ini penting bagi memastikan kepentingan pengeksport Malaysia terus dilindungi dan sebarang perubahan dasar dimaklumkan lebih awal kepada pihak berkepentingan tempatan.
Beliau menjelaskan, tarif berkenaan hanya dikecualikan kepada syarikat yang mempunyai pelaburan atau operasi di AS, dan ini menimbulkan persoalan terhadap status syarikat AS yang beroperasi di Malaysia yang menyumbang sekitar 65% eksport semikonduktor negara ke pasaran tersebut.
Tambahnya, MITI kini bekerjasama dengan Bank Negara Malaysia bagi menilai kesan penuh tarif tersebut terhadap rantaian bekalan dan ekonomi tempatan.




