Sekejap sahaja Elon Musk di atas, kini Larry Ellison individu terkaya dunia

Pengerusi Oracle, Larry Ellison kini muncul sebagai individu terkaya dunia selepas nilai kekayaannya melonjak kepada AS$393 bilion (RM1.67 trilion), mengatasi Elon Musk yang bernilai AS$385 bilion (RM1.62 trilion).
Kedudukan Ellison dipacu oleh lonjakan saham Oracle sebanyak 41 peratus, satu peningkatan harian terbesar dalam sejarah syarikat itu.
Kenaikan ini susulan kejayaan syarikat menandatangani kontrak bernilai berbilion dolar bersama beberapa pelanggan utama pada suku fiskal pertama.
Tempahan Oracle kini mencecah AS$455 bilion, empat kali ganda berbanding tahun lalu, dengan unjuran pendapatan Oracle Cloud Infrastructure meningkat 77 peratus kepada AS$18 bilion tahun ini, serta sasaran mencecah AS$144 bilion menjelang 2030.
Unjuran agresif itu menempatkan Oracle setanding gergasi awan lain seperti Amazon, Microsoft dan Google dalam persaingan teknologi kecerdasan buatan (AI).



