Ada wang haram dalam akaun, dana bersih tak boleh dirampas – Mahkamah

Mahkamah Rayuan memutuskan kerajaan tidak boleh merampas wang yang sah hanya kerana ia berada dalam akaun bank yang turut mengandungi wang daripada aktiviti haram.
Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menegaskan undang-undang pencegahan pengubahan wang haram tidak boleh digunakan sebagai mekanisme untuk merampas keseluruhan wang dalam sesuatu akaun tanpa membuktikan kaitannya dengan aktiviti haram.
Mahkamah turut menegaskan bahawa Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 bukanlah alat untuk merampas semua dana dalam akaun yang mempunyai wang tercemar.
Keputusan itu bermakna pihak berkuasa perlu membuktikan bahawa wang yang mahu dirampas mempunyai kaitan dengan aktiviti haram, dan bukan sekadar bergantung kepada fakta bahawa akaun berkenaan pernah menerima wang tercemar.




