Azam Baki patuh pengisytiharan harta, SPRM sifatkan laporan Bloomberg tak berasas

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta seperti yang ditetapkan di bawah rangka kerja perkhidmatan awam.
Menurut SPRM, semua pengisytiharan berkaitan sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset, termasuk saham, telah dibuat melalui Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) selaras dengan prosedur pentadbiran sedia ada.
SPRM menyifatkan laporan media antarabangsa yang mengaitkan isu tersebut sebagai mengelirukan dan tidak berasaskan fakta, selain mewujudkan persepsi negatif terhadap integriti, tadbir urus dan kredibiliti Suruhanjaya sebagai agensi penguatkuasaan.
Laporan itu juga didakwa bukan sahaja menjejaskan reputasi pegawai terlibat, malah secara tidak wajar mengaitkan SPRM dengan dakwaan salah laku yang boleh menghakis keyakinan masyarakat.




