Malaysia

6 negara, 451 penyertaan, pembina muda menyerlah di LEGOLAND ‘School Challenge’ 2026!

Bakat muda dari Malaysia dan Filipina mencuri perhatian selepas muncul juara LEGOLAND School Challenge 2026, pertandingan binaan LEGO antara sekolah terbesar di Asia yang kini memasuki edisi kelima.

Pertandingan ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan bertemakan ‘The Ultimate Theme Park Ride’.

Dalam kategori Junior, Puteri Mini Makers dari SK Cyberjaya, Selangor muncul juara, manakala The Mavericks dari SK Kubang Kerian 3, Kelantan memenangi kategori Primary. Bagi kategori Secondary pula, AJHS BluBLOC dari Ateneo de Manila Junior High School, Filipina dinobatkan sebagai juara.

Sebanyak 451 penyertaan dari enam negara iaitu Malaysia, India, Singapura, Filipina, Hong Kong dan China disertai tahun ini, sebelum 15 pasukan mara ke peringkat Grand Finale.

Pertandingan ini memberi peluang kepada pelajar mengembangkan kreativiti, kemahiran menyelesaikan masalah, kerja berpasukan serta pemikiran kritikal menerusi konsep pembelajaran berasaskan permainan LEGO.

Kejayaan itu turut disambut dengan penuh kegembiraan oleh para peserta yang ditemui selepas pertandingan. Mereka berkongsi rasa teruja dan gembira selepas usaha serta kerjasama sepanjang pertandingan membuahkan hasil, selain menyifatkan pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang tidak dapat dilupakan.

Sebagai hadiah, juara kategori Primary dan Secondary akan menerima lawatan ke LEGOLAND Shanghai, manakala juara kategori Junior akan menerima lawatan ke LEGOLAND Malaysia.

Semua juara turut menerima Annual Pass LEGOLAND Malaysia, trofi LEGO, set LEGO dan sijil pencapaian. Hasil binaan semua finalis pula dipamerkan di MINILAND, LEGOLAND Malaysia Resort sehingga Disember ini.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker