Bagi MyKad kepada penyeludup RON95, untung cecah RM90 satu tong – KPDN

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mendedahkan kegiatan penyeludupan petrol ke Thailand kekal rancak kerana keuntungan tinggi mencecah RM3 seliter.
Dengan harga RON95 tanpa subsidi di Malaysia sekitar RM2.60 seliter berbanding RM5.60 seliter di selatan Thailand, setiap tong 30 liter memberi pulangan sehingga RM90 kepada penyeludup.
Jelas Pengarah, Azman Ismail, permintaan tinggi di negara jiran menjadikan harga tanpa subsidi pun sudah cukup menguntungkan, sekali gus mendorong aktiviti ini berterusan walaupun kawalan sempadan diperketat.
Beliau juga tidak menolak wujudnya individu di sempadan yang sanggup meminjam atau memberikan MyKad kepada penyeludup bagi membolehkan mereka membeli petrol bersubsidi pada harga RM1.99.
Ada juga yang memiliki lesen tetapi tiada kenderaan, lalu menjual akses subsidi kepada pihak yang mengambil kesempatan.
Situasi itu sekali gus menyaksikan penyeludupan membabitkan barangan bersubsidi itu sentiasa berlaku walaupun kawalan di sempadan sentiasa dipertingkatkan.




