Dadah ditemui dalam lokap Balai Polis Lumut, konstabel dan dua OKT ditahan

Seorang konstabel dan dua orang kena tuduh (OKT) ditahan selepas pelbagai jenis dadah ditemui dalam lokap Balai Polis Lumut, Manjung, Rabu 12 Ogos.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, dadah itu ditemui ketika pemeriksaan rutin kira-kira jam 8.30 pagi. Rampasan melibatkan 109.54 gram methamphetamine, 110.37 gram heroin dan 142.31 gram kanabis, dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM18,534.
Dua OKT lelaki berusia 40-an didapati positif methamphetamine, manakala konstabel berusia 30-an yang bertugas di Balai Polis Lumut didapati negatif dadah. Ketiga-tiga mereka direman selama tujuh hari, bermula 12 hingga 18 Ogos.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. Polis kini menyiasat bagaimana dadah terbabit boleh dibawa masuk ke dalam lokap serta mengenal pasti sumber bekalannya.




