Dua individu direman bantu siasatan kes penyelewengan dana zakat RM230 juta

Seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bersama seorang pengarah syarikat direman selama empat hari bermula hari ini hingga 27 April, bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 50-an dan 60-an itu dibawa ke Mahkamah Shah Alam sekitar jam 9.11 pagi diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana zakat antara 2018 hingga 2024. Dana kira-kira RM230 juta itu juga dipercayai dipindahkan ke syarikat mereka sebelum digunakan untuk pelaburan dan kepentingan peribadi.
SPRM kini memberi fokus siasatan terhadap unsur salah guna dana awam, memandangkan NGO terbabit menerima sumbangan daripada orang ramai untuk membantu golongan memerlukan.



