Jangan politikkan kematian Zara Qairina – Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mengeksploitasi kematian Zara Qairina sebagai bahan politik atau penyebaran fitnah.
Beliau ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada Isnin menegaskan bahawa tindakan sedemikian tidak wajar dan tidak boleh diterima.
Menurut Anwar, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan dengan telus, malah mesyuarat peringkat tertinggi diadakan bagi memastikan kes tersebut ditangani sebaiknya.
Beliau juga menolak tindakan segelintir pihak yang menyebarkan maklumat palsu di media sosial, termasuk individu yang mendakwa diri sebagai pakar patologi sehingga mengelirukan orang ramai.
Menyentuh isu buli, Anwar menekankan bahawa budaya itu perlu dihentikan sepenuhnya kerana ia melibatkan penderaan psikologi dan fizikal.
Beliau menegaskan amalan buli tidak seharusnya berlaku sama ada di sekolah, universiti, pejabat mahupun sektor lain kerana ia menjejaskan maruah serta keselamatan mangsa.




