Malaysia

Jatuh kolam tidak bertutup di Brickfields hingga koyak telinga, wanita mohon DBKL segera bertindak

Seorang wanita berusia 50 tahun yang enggan identitinya didedahkan mengalami kecederaan serius selepas terjatuh ke dalam kolam hiasan tidak bertutup di hadapan sebuah restoran di bangunan Central Suites, Brickfields pada 7 Julai lalu.

Kejadian berlaku sekitar jam 5 petang ketika dia berjalan pulang dari tempat kerja sebelum terjatuh ke dalam kolam yang didakwa tiada sebarang penghadang atau tanda amaran.

“Disebabkan kejadian tersebut saya telah mengalami kecederaan teruk kerana cara saya jatuh itu sangat merbahaya, bahagian badan kiri saya telah tercedera dengan teruk sehinggakan telinga kiri saya koyak dan berdarah.

“Kemudian seluruh bahagian muka sebelah kiri saya cedera dan lutut saya bengkak dan disyaki ligemen koyak pada masa tersebut dan saya mengalami kesukaran untuk berjalan setelah keluar daripada kolam tersebut,” katanya.

Dia mendakwa kolam itu bukan sahaja mengakibatkannya cedera malah sudah menyebabkan tujuh hingga lapan individu lain turut terjatuh sebelum ini, namun tiada tindakan keselamatan diambil.

Telefon bimbitnya turut rosak akibat dimasuki air menyebabkan kerugian ratusan ringgit dan menjejaskan tugasnya sebagai pensyarah di samping terpaksa bertongkat selama tiga bulan.

Dia memaklumkan perkara itu kepada pihak pengurusan bangunan dan pemaju, namun mendakwa hanya menerima maklum balas yang menyalahkannya kerana tidak berhati-hati.

“Boleh ke saya jatuh ke dalam sekolah tersebut kerana kecuaian saya? Jika ia adalah kerana kecuaian saya, kenapa ada ramai yang juga jatuh ke dalam sekolah yang sama sehingga sekarang?,” soalnya.

Tidak berpuas hati, wanita itu membuat aduan rasmi kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada 6 September, namun sehingga kini tiada tindakan jelas diambil walaupun status aduan di portal DBKL menunjukkan ia telah “diselesaikan”.

Dia juga berharap pihak berkuasa segera menutup atau mengubah struktur kolam itu demi keselamatan orang awam agar kejadian sama tidak terus berulang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker