Kebakaran terburuk Hong Kong: Hampir 100 maut, 279 masih hilang

Korban kebakaran dahsyat di Wang Fuk Court, Hong Kong terus meningkat kepada sekurang-kurangnya 94 orang, menjadikannya insiden paling buruk dalam tempoh hampir 80 tahun.
Walaupun api kini hampir sepenuhnya dipadamkan, pasukan penyelamat masih menggeledah bangunan hangus itu untuk mencari ratusan lagi mangsa.
Setakat ini, 76 orang dilaporkan cedera termasuk anggota bomba, sementara 279 individu masih hilang dan usaha mengesan diteruskan.
Kebakaran berkenaan pada mulanya merebak merentasi lapan bangunan sebelum berjaya dihadkan kepada empat blok selepas lebih 24 jam usaha pemadaman.
Pihak berkuasa kini memberi tumpuan kepada siasatan punca kebakaran, termasuk kemungkinan kaitannya dengan kerja pengubahsuaian yang menggunakan perancah buluh serta jaring plastik di sekitar bangunan.
Polis turut menahan tiga lelaki kerana disyaki cuai meninggalkan bahan pelapik di kawasan terbabit, manakala suruhanjaya pencegahan rasuah membuka siasatan berasingan terhadap projek pengubahsuaian itu.
Mangsa yang terkorban melibatkan pelbagai latar belakang, termasuk seorang anggota bomba berusia 37 tahun dan dua pekerja domestik warga Indonesia.




