Lapangan Terbang di Osaka semakin tenggelam, tembok tahan ombak tidak membantu

Masa depan Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX) di Osaka, Jepun, yang diramal berdepan risiko tenggelam akibat mendapan tanah berterusan terus menjadi tanda tanya.
Memetik laporan Daily Express, lapangan terbang yang dibina di atas dua pulau buatan di Teluk Osaka serta dihubungkan ke tanah besar menerusi jambatan sepanjang hampir tiga kilometer itu dilaporkan mendap kira-kira 12 meter sejak pembinaannya.
Usaha menyelamatkan KIX termasuk menaikkan tembok penahan ombak dengan kos sekitar £117 juta, namun ada pakar berpendapat langkah itu tidak mencukupi.
Pakar menjangkakan menjelang 2056, sebahagian kawasan pulau buatan KIX boleh mendap melebihi empat meter sehingga hampir paras laut, sekali gus meningkatkan risiko banjir besar.
KIX memainkan peranan besar kepada industri pelancongan Jepun dengan sekitar 25 peratus pelawat asing ke Jepun masuk melalui lapangan terbang tersebut tahun lalu.



