Malaysia
Lelaki dengan 16 rekod jenayah ditahan selepas tetak siak surau

Seorang lelaki ditahan selepas siak sebuah surau di Kampung Bukit Jana, Kamunting cedera parah akibat ditetak semalam.
Ketua Polis Taiping, Mohamad Nasir Ismail berkata mangsa berusia 68 tahun mengalami kecederaan serius di kepala dan tangan selepas diserang lelaki berusia 55 tahun yang datang membawa parang ketika mangsa berada di kawasan surau.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati, selain suspek merupakan pesakit psikiatri yang pernah mendapatkan rawatan.
Suspek yang memiliki 16 rekod jenayah dan narkotik ditahan di kawasan Kamunting pada 4.30 petang.
Ujian air kencing mendapati suspek positif morfin dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.




