Lelaki mati dalam rumah selepas makan telur cicak

Seorang lelaki berusia 34 tahun ditemui mati di rumahnya di wilayah Banteay Meanchey, Kemboja, dipercayai akibat keracunan makanan selepas memakan telur cicak yang dipanggang.
Mangsa, Khut Ratana dari Kampung Russey Krak, ditemui tidak bernyawa di bawah rumahnya pada pagi Rabu selepas dipercayai makan daging dan telur cicak ketika berada di bawah pengaruh alkohol pada petang sebelumnya.
Dua kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang tinggal berdekatan mendakwa melihat mangsa menangkap seekor cicak, memanggangnya sebelum memakan daging serta telurnya walaupun telah dinasihatkan agar tidak berbuat demikian kerana dipercayai beracun.
Keesokan paginya, ibu kepada dua kanak-kanak itu menemui mangsa terbaring tidak bergerak di bawah rumah dan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa.
Siasatan forensik mengesahkan punca kematian adalah akibat keracunan makanan, dan mayat mangsa telah diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian mengikut adat tempatan.




