Sunyi anak duduk luar negara, wanita lahirkan bayi pada usia 59 tahun hasil IVF

Seorang wanita di China melahirkan bayi lelaki pada usia 59 tahun selepas berasa sunyi kerana berjauhan dengan anak perempuannya yang menetap di luar negara.
Bayi seberat 2.2 kilogram itu dilahirkan melalui pembedahan caesarean pada 9 Januari lalu di Hospital Rakyat No.1 Zhangjiagang, wilayah Jiangsu, sekali gus mencatat rekod sebagai wanita hamil tertua di bandar berkenaan.
Wanita berkenaan, bermarga Zou, sudah mempunyai seorang anak dewasa dan membuat keputusan untuk hamil semula dua tahun lalu selepas dia dan suaminya sering berasa kesunyian.
Kehamilan itu berjaya hasil rawatan persenyawaan in vitro (IVF) dengan doktor memutuskan pembedahan dilakukan ketika usia kandungan 33 minggu lima hari demi keselamatan ibu dan bayi.
Kes ini mencetuskan perbincangan hangat di media sosial China, selari dengan peningkatan kes wanita berusia melahirkan anak dalam masyarakat yang semakin menua.




