Polis didakwa masih ‘bisu’ dalam kes kematian kadet TLDM, Soosaimanicckam

Keluarga kepada J Soosaimanicckam masih menantikan tindakan pihak polis untuk membuka semula siasatan berhubung kematian pegawai kadet laut itu, setahun selepas Mahkamah Tinggi memutuskan ia sebagai kes bunuh.
Bapanya, S Joseph, berkata keluarga tidak menerima sebarang perkembangan daripada pihak berkuasa meskipun sudah menghantar memorandum kepada Jabatan Peguam Negara, Bukit Aman dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).
Pada sidang media yang turut dihadiri anaknya, Charles, Joseph sekali lagi menggesa pihak berkuasa membuka semula siasatan terhadap kematian anaknya pada 2018.
“Setelah 8 tahun turun naik mahkamah, Mahkamah Tinggi Ipoh judge bagi keputusan homicide dan pegawai TLDM menyebabkan kematian anak saya.
“Saya telah buat laporan polis bagi pihak polis Bukit Aman membuat siasatan dan segi sudut jenayah mengikut keputusan mahkamah untuk kenal pasti siapa yang menyebabkan kematian anak saya.
“Sehingga sekarang pihak polis diam dan tiada tindakan walaupun kami dah serah memorandum ke bukit aman,” katanya.
Laporan bedah siasat sebelum ini mendapati Soosaimanicckam meninggal dunia di pangkalan tentera laut KD Sultan Idris, Lumut, Perak pada 19 Mei 2018 akibat pulmonary oedema berpunca daripada jangkitan leptospirosis yang dialami ketika latihan.
Pada 2023, Mahkamah Koroner Ipoh memberikan keputusan terbuka selepas prosiding inkues, dengan menyatakan kematian itu tidak boleh dikaitkan dengan mana-mana individu secara khusus.
Keluarga mangsa turut memfailkan saman terhadap kerajaan dan 14 pihak lain atas dakwaan cuai, namun kes itu ditolak oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Disember lalu selepas mahkamah berpendapat pihak plaintif gagal membuktikan dakwaan kecuaian berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Keluarga kini sedang memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.




