Hujan lebat berterusan, lebih 400 penduduk di Penampang dan Beaufort tinggal di PPS

Lebih 400 penduduk di Penampang dan Beaufort diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara PPS susulan hujan lebat berterusan sejak Khamis.
Beberapa kawasan di pantai barat Sabah yang dilanda banjir itu mengakibatkan seramai 179 mangsa kini ditempatkan di empat PPS iaitu Kompleks Sukan Penampang (55 orang), SMK Datuk Peter Mojuntin (88), SK St Paul Kolopis (9) dan Dewan Huguan Siou, Tuavon (27) melibatkan kawasan Penampang.
Di Beaufort pula, seramai 233 mangsa daripada 69 keluarga dipindahkan selepas lapan kampung dinaiki air.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan ribut petir akan terus melanda pantai barat Sabah sepanjang minggu ini, dengan risiko limpahan sungai serta banjir kilat di kawasan rendah.
Orang ramai diingatkan agar mengutamakan keselamatan dan mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.




